Bismillahirrahmanirahim...
Alhamdulillah pada tarikh keramat 5 Jun 2011 adikku selamat diijabkabulkan dengan pilihan hatinya. Perkahwinan ini merupakan perkahwinan pertama dalam keluargaku. Oleh itu sebagai puteri sulung yang berkahwin maka sebuah majlis yang gilang-gemilang diadakan untuknya. Rumahku dikunjungi oleh sanak saudara seminggu lebih awal dari tarikh persandingan. Pada mulanya ayahku ingin mengadakan menggunakan katering namun mama dengan nenek mencadangkan agar mereka bergotong-royang mengikut cara kampung. Setelah dipujuk akhirnya ayah bersetuju dengan cadangan itu. Maka seminggu sebelum majlis rumah telah dikunjungi oleh ahli keluarga terdekat serta jiran tetangga untuk membantu.
Majlis bermula dengan majlis akad nikah. Namun sebelum akad nikah bermula aku dipanggil untuk menerima barangan kerana adik ku telah melangkah bendul. Oleh itu pihak lelaki telah menyediakan barang kemas dan sepersalinan pakaian untukku. Emak dan nenekku tidak membenarkan aku memakai pakaian tersebut. Aku mengiakan sahaja larangan tersebut walaupun aku tidak mempercayai adat tersebut yang mengatakan sesiapa yang dilangkah bendul agak berat jodohnya. Namun bagiku soal jodoh pertemuan ini adalah ketentuan Yang Esa. Namun atas dasar hormat aku mendengar larangan tersebut.
Setelah itu majlis akad nikah pun dimulakan. Dengan hanya sekali lafaz alhamdulillah adikku telah menjadi isteri orang. Setelah itu majlis persandingan diadakan secara ringkas kerana hari sudahpun malam. Tambahan pula malam itu hujan. Walaupun begitu kemeriahan tetap ada.
Pada 5 Jun majlis persandingan pun diadakan. Orang ramai tiba dengan tidak putus-putus sedari jam 10.00 pagi. Saudara-mara, sahabat handai serta jiran tetangga datang tanpa mengenal bansa atau kaum bagi memeriahkan majlis ini. Pertama kali dalam sejarah hidupku, aku melayani tetamu yang hadir tanpa melarikan diri. Hal ini kerana sebelum ini aku amat takut untuk malayan tetamu yang hadir ke rumah walaupun ketika di hari raya. Namun ketika hari perkahwinan adikku ini aku turut sama-sama menyambut kedatangan tetamu.
Pasangan pengantin tiba pada jam 1.00 tengah hari. Kedua-dua mempelai ibarat pinang dibelah dua berarak lalu bersanding di atas pelamin yang dihias indah oleh nenek sebelah ibuku. Setelah ditepung tawar dan bergambar, kedua-dua pengantindiiringi untuk menyempurnakan acara makan beradab. Sekali lagi lauk-lauk pengantin telah disediakan oleh nenek yang sama. Setelah upacara tersebut upcara pemotongan kek pula bermula. Setelah itu sekali lagi kedua-dua adikku ini bersanding di pelaminan.
Majlis berakhir pada jam 4.00 petang setelah semua tetamu pulang ke rumah masing-masing. Beberapa saudara yang terdekat pulang setelah mereka membantu mengemas bagi meringankan keluargaku. Akhirnya majlis perkahwinan adikku ini berlangsung dengan jayanya.
Aku turut tumpang gembira bagi pihak adik kesayanganku ini. Aku turut pulang ke universitiku untuk menyambung tugasku sebagai seorang mahasiswi. Belum terlambat rasanya untuk aku mengucapkan SELAMAT PENGANTIN BARU kepada adik keduaku ini. Semoga dia sentiasa bahagia disamping suami tercinta. Semoga dia mampu mengharungi segala rintangan dan cabaran yang bakal melanda sebagai seorang isteri dan tahniah juga kerana alhamdulillah tidak lama lagi keluargaku akan menerima ahli baru......
No comments:
Post a Comment