ASSALAMUALAIKUM....

SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA. SESUNGGUHNYA SEGALA ILMU ADALAH MILIK ALLAH YANG ESA. SAYA HANYA INGIN BERKONGSI SEGALA ILMU YANG SAYA PEROLEH.SELAMAT DATANG KE DUNIA NUKILAN SAYA

Wednesday, February 16, 2011

RASULULLAH S.A.W. INSAN YANG HARUS DICONTOHI & DICINTAI


Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatu......

Alhamdulillah dengan izin Allah Yang Maha Esa dapat lagi kita berada di dunia yang indah ini. Syukur dipanjat ke atas Tuhan Yang Satu kerana sekali lagi kita dapat meraikan hari keputeraan kekasih kita, Nabi Muhammad S.A.W. iaitu pada 12 Rabiulawal 1432H bersamaan 15 Februari 2010 M. Siapa sangka tahun ini hari Maulidur rasul berlangsung sehari selepas hari Kekasih yang dibanggakan oleh semua manusia. Ramai yang mengakui mencintai baginda Rasulullah tetapi mereka tidak berselawat ke atas baginda. Ramai yeng mengatakan bahawa mereka mengasihi Rasulullah tetapi tidak mengetahui sirah baginda. Ramai yang menyatakan bahawa mereka menyayangi Rasulullah tetapi mereka tidak pernah mengamalkan sunnahnya. Ramai umat Islam yang ingin akan syafaat baginda di padang masyhar nanti tetapi mereka tidak mengingati malah tidak pernah merindui Nabi Muhammad S.A.W..Kita kata kita menyayangi, mencintai malah merindui nabi namun kita menjauhkan diri dari Al-Quran.

Pepatah Melayu ada mengatakan "tidak kenal maka tidak cinta". Benarlah pepatah tersebut bagaimana ingin kita mencintai kekasih yang mulia ini andai kita tidak mengenali baginda sedalam-dalamnya. Kita lebih mengenali St. Valentine daripada Muhammad bin Abdullah. Kita lebih mengenali artis-artis seperti Siti Nurhaliza, Shahir AF8, dan ramai lagi tetapi adakah kita kenal Muhammad Al Amin? Ya benar dalam mata pelajaran Agama Islam dan Sejarah kita belajar sirah baginda Rasul tapi kita hanya sekadar belajar untuk lulus peperiksaan tanpa kita mencari sirah baginda agar ilmu yang kita cukup mendalam untuk kita menyayangi Kekasih Allah ini. 

Kita tahu Nabi kita dilahuirkan pada hari isnin 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571M pada tahun gajah di Makkahtulmukarramah. Tahun itu digelar Tahun Gajah bersempena dengan peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang Kota Makkah dan ingin menawan Ka'abah. Namun Allah tidak akan membenarkan  perkara itu terjadi lalu Allah telah menghantar burung ababil yang membawa batu dari neraka untuk menyerang tentera Abrahah. Muhammad s.a.w. dilahirkan pada waktu subuh. Driwayatkan ketika kelahiran Kota Mekah menjadi terang-benderang. Seluruh Kota Mekah bercahaya. Api sembahan kaum Majusi yang tidak padam selama 100 tahun terpadang pada waktu baginda lahir. Malah istana Parsi retak. Itulah antara peristiwa yang berlaku pada hari baginda dilahirkan.

Ibu baginda bernama Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf  manakala bapanya bernama Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim. Ketika baru berusia 2 bulan Nabi dalam kandungan ibunya, bapanya telah meninggal ketika dalam perjalanan ke Syam untuk berniaga. Maka Nabi sebelum lahir lagi sudah menjadi yatim. Setelah dilahirkan ke muka bumi ini, Nabi telah diserahkan untuk disusui oleh ibu susuan. Adat memberi anak ke perempuan lain untuk disusui memang sering dilakukan bagi masyarakat arab di Mekah. Nabi Muhammad mempunyai dua Ibu susuan iaitu yang pertama, Thuwaibah yakni hamba perempuan Abu Lahab iaitu bapa saudara Nabi Muhammad. Kemudiannya Nabi disusui pula oleh Halimah binti Abi Zuaib As-Sa'adiah yang lebih dikenali sebagai Halimah As-Sa'adiah. Setelah berusia 2 tahun, ibunya Aminah ingin mengambilnya semula namun Halimah As-Sa'adiah memohon agar menambahkan tempoh penjagaannya kerana dia telah mula menyayangi Nabi S.A.W. Hal ini adalah kerana walaupun masih kecil namun Muhammad banyak memberi tuah kepada keluarga ibu susuannya hingga melimpah ruah rezeki ke atas kelauarga tersebut. ketika berusia 4 tahun nabi sudah rajin membantu ibu susuannya mengembala kambing. 

Ketika berusia 5 tahun satu peristiwa telah berlaku ke atas nabi junjungan Muhammmd s.a.w.. Peristiwa itu adalah pembelahan dada yang dilakukan oleh dua orang malaikat untuk mencuci hati Nabi dan mengeluarkan bahagian wujudnyal syaitan di dalam hati baginda. Peristiwa itu amat membimbangkan ibu susuannya lalu dia mengembalikan Muhammad kepada ibu kandungnya. Ketika berusia 6 tahun, ibunya, Aminah telah membawa nabi ke Madinah untuk melawat kubur suaminya sekaligus melawat saudara-mara yang berada di sana. Ketika dalam perjalanan pulang Aminah jatuh sakit lalu meninggal dunia di Abwa' maka Ummu Aiman yakni pengasuh nabi membawa Muhammad pulang dan baginda lalu dijaga oleh Datuknya, Abdul Muttalib. Baginda amat disayangi oleh datuknya kerana dia bersimpati dengan nasib cucunya yang telah menjadi yatim piatu pada usia yang masih terlalu muda. Namun kegembiraan  itu tidak lama kerana sekali lagi orang yang disayangidijemput menghadap Ilahi. Ketika Nabi berusia 8 tahun,datuknya pula meninggal dunia. Alangkah kuatnya Rasulullah, walaupun masih muda tapi telah ditinggalkan oleh ahli keluarga yang amat menyayangi baginda. Namun walaupun baginda telah kehilangan ibu bapa dan datuk tersayang namun baginda sentiasa berada dibawah lingkungan jagaan Allah Yang Esa.


Setelah itu, Nabi dijaga oleh Abu Talib iaitu  bapa saudaranya. Sebelum kematian datuknya, Abdul Muttalib, dia telah bertanya kepada cucu kesayangannya dan menyuruh Muhammad memilih penjaganya selepas kematiannya Abdul Muttalib nanti. Muhammad yang masih kecil memilih Abu Talib sebagai penjaganya yang seterusnya selepas kematian Datuk yang amat menyayanginya itu. Abu Talib walaupun hidup susah disamping mempunyai ramai orang anak namun dia menerima juga amanah yang ditinggalkan oleh bapanya itu. Sejak itu Muhammad bin Abdullah tinggal bersama Abu Talib dan dia membantu Abu Talib mengembala kambing. Apabila Muhammad telah meningkat remaja dia membantu bapa saudaranya itu berniaga. Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai sifat yang amat mulia. Ketika melaksanakan perniagaan baginda mempamerkan sikap yang terpuji seperti tidak menipu dalam menjalankan urusan perniagaan. Baginda juga sentiasa memaniskan muka ketika berniaga. Kerana sikap-sikap murninya itu maka perniagaannya mendapat keuntungan yang tinggi.malahsemua orang menyukai dan menyenangi sikap terpuji Nabi akhir zaman ini.


Kerana sikap mulia Rasulullah itulah baginda digelar Muhammad Al Amin hal ini kerana baginda tidak pernah bercakap bohong. Akhirnya baginda diminta bekerja dengan seorang janda yang termashur iaitu Siti Khadijah binti Khuwailid. Siti Khadijah adalah seorang wanita kaya yang digilai oleh ramai lelaki walaupun telah menjadi janda. Siti Khadijah telah dua kali berkahwin. Suami pertamanya ialah Ais atau Atiq bin Abid dan mendapat dua orang cahaya mata iaitu,Abdullah dan Jariayah. Kemudian dia berkahwin pula denganAbu Halah bin Malik dan mempunyai 2 orang puteri iaitu Hindun, dan Zainab. Kedua-dua suaminya itu meninggal dunia. Setelah itu Siti Khadijah tidak mahu berkahwin lagi. Hal ini kerana dia ingin menanti seorang lelaki yang baik untuk dijadikan peneman sepanjang hidupnya yang bukan hanya bersama dengannya di dunia ini tetapi berkekalan sehingga di syurga kelak. Apabila mengetahui tentang sifat mulia Muhammad bin Abdullah, Siti Khadijah telah menghantar utusan untuk berjumpa dengan Muhammad untuk menawarkan peluang pekerjaan. Peluang itu dianggap peluang keemasan oleh Muhammad dan juga Abu Talib kerana dengan peluang sebegitu pendapatan keluarga dapat bertambah. Maka Muhammad pun membawa barang yang perlu dijual ke negeri Syam dengan ditemani Maisara, pembantu lelaki Siti Khadijah. Khadijah meminta Maisara memerhatikan Muhammad kerana Khadijah ingin sangat tahu bagaimana sifat terpuji Muhammad sehingga ramai yang memujinya. Setelah rombongan itu kembali ke Makkah, Muhammad lantas memberi keuntungan yang diperoleh kepasa tuannya itu.


Khadijah amat terkejut kerana perniagaan yang diuruskan Muhammad laris dengan cepat malah Muhammad memberi hasil keuntungan tanpa mengambilnya walau sedikit. Siti Khadijah terpegun dengan sifat Muhammad itu. Setelah Khadijah memberi upah kepada Muhammad, baginda terus pulang ke rumah pak ciknya manakala Khadijah telah memanggil pembantu lelakinya iaitu Maisara untuk mendengar dari mulut Maisara sendiri mengenai sikap dan sifar baginda rasul. Maisara lalu berkata bahawa tidak pernah dia berjumpa pemuda sebaik Muhammad. Baginda menjalankan perniagaan dengan penuh dedikasi dan sentiasa bermanis muka dengan setiap pelangaan. Sifatnya yang peramah itu membuatkan semua orang menyayanginya dan menyukainya.Muhammad juaga terlalu jujur dalam melaksanakan tugasnya. Khdijah yang mendengar penjelasan Maisara tersenyum Maisara lalu menyatakan terdapat suatu perkara pelik dan ajaib telah berlaku sepanjang dia bersama dengan Muhammad. Di sepanjang perjalanan dia mendapati segumpal awan sentiasa mengikut gerakan Muhammad seolah-olah sentiasa melindungi Muhammad dari teriknya sinaran matahari. 


Tanpa diketahui oleh sesiapa, hati Khadijah telah tertarik dengan Muhammad melalui segala cerita yang dibawa oleh Maisara dan hatinya juga seolah-olah terbuka dan diisi oleh seorang lelaki muda bernama Muhammad bin Abdullah. Kerana memikirkan tentang umurnya yang telah berusia dia menyembunyikan perasaannya dari pengetahuan sesiapa pun. Namun dikatakan perasaan beliau terhadap Nabi Muhammad itu tidak boleh ditahan-tahan atau dihalang-halang lagi sehingga beliau berkata: "Jika segala kenikmatan hidup diserahkan kepadaku, dunia dan kekuasaan para raja Iran (Parsi) dan Rumawi diberikan kepadaku, tetapi aku tidak hidup bersama Muhammad, maka semua itu bagiku tidak lebih berharga daripada sebelah sayap seekor nyamuk". Perasaan kasih khadijah terhadap Muhammad semakin menebal sehingga terdapat riwayat mengatakan bahawa Khadijah memberitahu isi hatinya kepada Muhammad dengan berkata:
"Saudaraku, mengingatkan hubungan yang ada di antara kita (bangsa Quraisy) dan kebesaran serta kemuliaan saudara di kalangan kaum serta kejujuran, akhlak terpuji dan sifat lurus dan amanah yang ada pada saudara maka saya sangat ingin untuk hidup bersama dengan berkahwin dengan saudara wahai Muhammad!"


Namun, dalam bangsa Quraish terdapat satu adat yang menghalang perempuan meminang lelaki maka adat itu menghalang niat suci Khadijah. Kemudiannya Siti Khdijah meminta bantuan rakannya iaitu Nafisah@Nafsiah binti Aliyah@Muniiah@Munyaa untuk menemui Muhammad dan membawakan khabar gembira kepadanya. 


Berikut dialog antara rakan Siti Khadijah itu dengan Nabi Muhammad; "Wahai Muhammad mengapa tidak anda sinari kehidupan malam anda dengan seorang isteri?"

Jawab Nabi: "Ini kerana saya tidak mempunyai sebarang persiapan untuk berkahwin".

"Kalau begitu apakah anda akan menyambutnya dengan senang hati jika saya mengundang anda kepada kecantikan, kekayaan, keanggunan dan kehormatan," kata Nafisah.

Nabi menjawab; "Apa maksud anda?"

Lalu Nafsiah menyebut nama Siti Khadijah.

Mendengarkan nama Siti Khadijah itu, lantas Nabi Muhammad pun berkata "Apakah Khadijah sudi menerima saya, pada hal dunia saya dan dunia dia jauh berbeza dan sedangkan beliau pernah menolak lamaran-lamaran daripada pemuda-pemuda yang jauh lebih mulia dan kaya daripada saya?"

"Saya mendapat kepercayaan daripada Siti Khadijah dan akan membuat dia setuju. Anda hanya perlu menetapkan tarikh perkahwinan agar walinya (Amar bin Asad) dapat mendampingi anda berserta sahabat handai, rakan taulan dan upacara perkahwinan dan perayaan dapat diadakan," kata Nafsiah.

Nabi Muhammad lalu menerima Siti Khadijah menjadi isterinya lalu dia meminta bapa saudaranya, Abu Talib untuk pergi meminang Siti Khadijah. Pada suatu hari iaitu dikatakan sebelum Nabi Muhammad mengambil upah mengetuai rombongan dagangan Siti Khadijah ke Syam itu, Siti Khadijah dikatakan telah didatangi satu mimpi yang agak aneh dan ini menyebabkan beliau segera menemui sepupunya, pendita atau rahib agama Hanif, Waraqah bin Naufal atau nama penuhnya Waraqah bin Nawfal bin Assad bin Abd al-Uzza bin Qusayy Al-Qurashi.

"Malam tadi aku bermimpi sangat menakjubkan. Aku melihat matahari berputar-putar di atas Kota Mekah, lalu turun ke arah bumi.

"Ternyata matahari itu turun dan memasuki rumahku. Cahayanya yang sangat agung itu membuatkanku terpegun.

"Lalu aku terbangun daripada tidurku itu" kata Siti Khadijah.

Mendengarkan itu, lalu Waraqah berkata; "Aku sampaikan berita gembira kepadamu, bahawa seorang lelaki agung dan mulia akan datang untuk menjadi teman hidupmu.

"Dia memiliki kedudukan penting dan kemasyhuran yang semakin hari semakin meningkat," kata Waraqah.

Akibat dari mimpi itulah ditakdirkan tidak lama kemudian Khadijah menjadi isteri Muhammad. Ia adalah wanita yang terus hidup dalam hati suaminya sampaipun ia telah meninggal dunia. 


Ketika berusia 40 tahun, Nabi Muhammad lebih suka bersendirian di Gua Hira' dan dikatakan ketika baginda bersendirian di gua inilah telah turunnya wahyu yang pertama iaitu Iqra' yakni bacalah. Ketika inilah turunnya wahyu pertama yang mengangkat Muhammad menjadi Rasul terakhir. Seterusnya ketika Rasulullah berumur 53 tahun baginda telah berhijrah ke Madinah dengan ditemani sahabat baginda iaitu Abu Bakar As-Siddiq. Di Madinah agama Islam telah berkembang dan maju. Umat Islam juga semakin bertambah. Akhirnya, Ketiaka nabi berusia 63 tahun akhirnya Rasul yang mulia ini telah kembali kepada kekasihnya yakni Tuhan Pencipta sekalian alam.Tanggal 12 Rabiulawal tahun 11H bersamaan hari Isnin 8 Jun 632 M baginda telah wafat. Namun sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir baginda masih mengingati kita yakni umatnya dengan menyebut ummati, ummati yang bermaksud umatku...umatku... Baginda berpesan kita tidak akan sesat sekiranya kita berpegang kepada dua peninggalan baginda iaitu Al-Quran dan Sunnah.

Begitulah serba sedikit kisah Nabi Kesayangan kita iaitu Rasulullah S.A.W..Semoga kita sentiasa mengingati baginda dengan memperbanyakkan selawat ke atas baginda. Moga di Hari Perhitungan nanti kita akan memperoleh syafaat dari kekasih kita ini, MUHAMMAD BIN ABDULLAH S.A.W. rasul akhir zaman....... Insya-Allah....

No comments: