ASSALAMUALAIKUM....

SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA. SESUNGGUHNYA SEGALA ILMU ADALAH MILIK ALLAH YANG ESA. SAYA HANYA INGIN BERKONGSI SEGALA ILMU YANG SAYA PEROLEH.SELAMAT DATANG KE DUNIA NUKILAN SAYA

Wednesday, April 15, 2015

NUKILAN HATI SEORANG ISTERI

Cerpen ini ada kesinambungan dari cerpen “Penyesalan Seorang Lelaki Bergelar Suami” namun kali ini saya ingin membawa pembaca menyelami hati si Isteri pula.

Aku sudah berkahwin sekarang. Suamiku adalah seorang lelaki yang sangat baik. Aku sangat mencintai suamiku yang baru kunikahi ini. Aku sentiasa berdoa semoga aku mampu menjadi seorang isteri yang baik dan solehah untuknya. Tapi aku tahu aku tidak seperti seorang isteri yang dia harapkan. Sesungguhnya aku tahu semua lelaki mengimpikan seorang isteri yang boleh menjadi tempat untuk dijadikan teman untuk berbual dan bergurau senda. Aku percaya itu yang diimpikan oleh suamiku sebelum mengahwiniku. Ya, aku sememangnya seorang yang pendiam. Aku jarang bercakap dengan lelaki. Aku seememangnya selalu dipuji kerana cara aku menjaga batasan diriku. Ketika sebelum berkahwin aku selalu berasa malu setiap kali aku terserempak dengannya. Dia pun tidak pernah menegurku masa itu. Aku berasa sangat sedih kerana dalam diam aku meminatinya. Tapi aku tidak tahu sama ada dia menyukai aku atau tidak. Mungkin aku seorang sahaja yang bertepuk sebelah tangan. Masakan dia akan menyukai aku yang pendiam ini. Dalam diam aku selalu memerhatikannya. Aku lihat dia amat gembira setiap kali bersama dengan kawan-kawannya. Dia suka ketawa dan sering berbual rancak. Dia serang yang sentiasa ceria. Aku suka dia macam tu, kerana aku ingin dia gembira selalu. Namun dia juga kelihatan sangat rapat dengan perempuan yang bekerja satu pejabat dengannya. Hal ini menjadikan aku berasa sangat cemburu setiap kali aku melihat dia berbual-bual dengan perempuan lain.

Suamiku sememangnya seorang yang sangat kacak dan bergaya sehinggakan terdapat ramai perempuan yang tertarik dengannya dan cuba memikatnya. Namun akhirnya aku yang menjadi pilihannya. Aku berasa sangat gembira ketika menjadi miliknya. Eh, lupa pula nak bagi tahu namanya. Nama panggilan suamiku adalah Adam. Nama betul dirahsiakan. Biarlah rahsia. Hanya aku sahaja yang boleh tahu.

Aku tidak percaya apabila diberitahu ayah bahawa aku telah dilamar oleh seseorang. Pada mulanya aku berasa sedih seandainya yang melamarku adalah lelaki lain dan bukannya  abang Adam. Apabila ayah memeberitahuku yang meminangku adalah lelaki bernama Adam dan menunjukkan gambarnya kepadaku aku berasa sangat gembira. Nasib baik tekak aku sakit kalau tidak mahu sahaja aku menjerit kegembiraan. Aku kagum dengan caranya memikatku. Dia terus pergi berjumpa dengan bapaku dahulu dan meminta izin untuk menyunting diriku. Ayah tidak putus-putus memujinya kerana caranya yang bersopan santun dan dia kelihatan seperti seorang yang bertanggungjawab. Menurut ayahku dia percaya Adam akan membahagiakan 

Aku tahu pada mulanya abang Adam berasa kecewa sangat kerana merasakan ayahku seolah-olah tidak menerima lamarannya. Tapi sebenarnya Abang Adam tidak tahu yang sebenarnya ayah sengaja ingin menguji kehebatan cintanya kepada aku. Aku juga takut sebenarnya dia berubah hati dengan mencari calon yang lain sahaja. Aku juga tahu yang sebenarnya dia mempunyai seorang lagi gadis yang dia minati. Gadis itu sememangnya sangat rapat dengan Abang Adam dan mereka sangat selasi dengan diai. Tapi akhirnya aku yang dipinangnya. Aku gembira sangat.

Akhirnya keluargaku menerima peminangannya. Aku berasa sangat bahagia. Jadi memang sah lah jodoh aku dengan abang Adam. Lepas akad nikah, kini sahlah aku menjadi isteri seorang lelaki bernama Adam. Aku berasa sangat bersyukur kepada Tuhan. Kini bermulalah permulaan kisahku sebagai seorang isteri kepada abang Adam. Aku tidaklah sesempurna orang lain. Aku bimbang Abang Adam akan bosan denganku dari itu aku telah menceritakan ketidaksempurnaanku di dalam sepucuk surat dan meletakkan surat tersebut di dalam sebuah kotak jam hadiah perkahwinan dariku untuknya. Aku berharap dia akan membaca surat tersebut. Aku berasa gembira dan bersyukur kerana suamiku tidakpun berubah sikap setelah mengetahui kekuranganku. Ketika dirumah. dia macam biasa sahaja. Satu perangai suamiku yang sangat kusenangi adalah dia amat suka bercakap dan bergurau. Cuma malangnya setiap kali dia bercakap atau bertanya soalan selalu jarang dapat kubalas atau kujawab. Rumah  kami menjadi bising dan meriah kerana telatah suamiku .

Kadang-kadang aku bersuara juga tapi aku tahu abang Adam semakin bodan dengan kebisuanku. Baginya yang jenis suka cakap banyak memang akan berasa bosan denganku yang bukan jenis yang boleh diajak berborak sangat. Kadang-kadang tu apabiila dia bercakap pasal sesuatu, aku hanya mendiamkan diri tanpa memberi sebarang respons.. Akhirnya dia menjadi malas dan bosan nak berborak denganku.  Aku tahu abang sudah menjadi bosan dengan aku.  Abang maafkan Ara. Ara cuma mampu tersengih sahajatanpa mampu bersuara dan ketawa. Maafkan Ara.

Selain itu suamiku juga adalah seorang perokok sederhana tegar. Aku pula tidak boleh terhidu asap rokok. Sehinggakan bau nafasnya yang bersisa rokok pun akan menyebabkan aku batuk. Sebenarnya walau tidak berbau rokok pun aku akan selalu batuk. Ya Allah dahulu Doktor Masyitah pernah beritahu apabila penyakitku ini semakin serius aku akan mengalami sakit di bahagian tekak yang teramat sangat sehinggakan aku tidak mampu bercakap langsung. Selain itu aku akan mengalami sesak nafas yang amat teruk. Apa yang paling menyakitkan adalah aku akan sering terbatuk sehinggakan kadang-kadang aku terbatuk darah. Ya Allah tidak tertanggung sakit ini. Apa yang lebih menyentuh hatiku kerana sayangkanku semakin lama semakin kurang abang Adam merokok. Aku tahu dia hanya akan merokok ketika di pejabat sahaja.

Aku bekerja di bahagian farmasi di hospital. Suamiku pula tidak boleh terhidu bau ubat kerana dia akan pening kelapa. Walaupun dia tidak pernah merungut atau memberitahuku namun aku dalam lihat dari perubahan mukanya setiap kali menjemputku pulang dari tempat kerjaku. Sememangnya Abang Adam bertegas ingin menghantar dan mengambilnya dari hospital sejak kami berkahwin walaupun aku mengatakan bahawa aku boleh menaiki bas. Lagipun pihak hospital ada menyediakan bas untuk menjemput dan menghantar petugas yang bertugas di hospital itu. Namun abang Adam mengata sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai seorang suami. Setiap kali mengambilku pulang, memang hari-hari lah bajuku berbau ubat di dalam kereta. Oleh itu, dia akan selalu membuka tingkap untuk menghilangkan bau yang tidak disukainya itu. Namun pada satu hari tu ketika hari hujan lebat, jadi tingkap kereta tidak boleh dibuka. Aku tahu abang Adam tidak tahan dengan bau ubat dan hal ini menyebabkan dia berasa pening. Malangnya kami telah terlibat dengan kemalangan apabila kereta kami terlanggar bontot kereta orang di hadapan. Ketika di hospital, doktor mengatakan bahawa aku keguguran akibat kemalangan tu. Rupanya aku sedang mengandung dua bulan namun kami berdua tidak mengetahuinya.. Ya Allah!!

Selepas kejadian itu abang Adam menyuruhku berhenti kerja. Katanya dia ingin aku korbankan kerjaku kerana dia dah tidak tahan dengan bau ubat!! Katanya pendapatan dia mencukupi untuk menyara hidup kami! Sebagai seorang isteri aku tahu aku harus taat dengan permintaan suamiku. Aku tidak mahu mengingkari arahannya walaupun berat hatiku untuk melepaskan pekerjaan yang sememangnya menjadi impianku sedari kecil. Namun walaupun sedih aku berhenti juga. Aku harus taat dengan suamiku. Redha suami amat penting bagi kita wanita yang bergelar seorang isteri. Sejak dari hari tu aku hanya menjadi suri rumah sepenuh masa. Masku banyak kuhabiskan seorang diri di dalam rumah. Aku berasa sangat sunyi.Setelah setahun usia perkahwinan kami, Abang semakin menjauhkan diri. Entah bagaimana aku mendapat tahu Ika, bekas teman wanita Abang Adam datang semula ke dalam hidup Abang Adam. Malah Ika juga mengatakan bahawa dia masih sayangkan abang dan mahu abang mengambilnya menjadi isteri nombor suamiku. Dia kata dia  sanggup hidup bermadu. Ya allah... sakitnya hati ini hanya Engkau yang tahu. Sesungguhnya tiada wanita di dunia ini yang sanggup berkongsi kasih. Padahal aku baru sahaja merasa nikmat alam perkahwinan. Aku tidak sanggup dimadukan namun kuasa Allah tiada siapa dapat tandingi. Jika telah tertulis aku harus berkongsi kasih dan cinta Abang Adam dengan wanita lain maka aku harus redha. Menitis air mata ini mengenangkan apa akan jadi dengan kehidupan kami di kemudian hari. Sakit di bahagian tekak dan jantungku semakin menyeksa diriku. Ya Allah berat sungguh dugaan Kau berikan kepadaku. Namun ku tahu Ya Rahman kau tidak akan menguji seseorang jika diluar kemampuan hambamu. Aku terima ujian mu ini. Mungkin ada hikmah di sebalik setiap kejadian.

Alangkah bahagianya diri ini apabila aku mendapat tahu abang menolak permintaan Ika. Aku gembira menjadi isteri abang Adam kerana abang Adam sentiasa menjaga perasaanku. Ya Allah aku ingin membahagiakan abang Adam namun aku tidak mampu. Sedih hati ini melihat abang sentiasa bermuram dan tidak seceria dahulu. Ya Allah kenapa aku yang tidak sempurna ini menjadi pilihan abang. Itulah yang sering kukatakan dalam diriku. Aku tahu abang tidak pernah bahagia sejak menjadikan aku isterinya. Abang Adam sanggup berkorban dengan tidak merokok namun aku tidak mampu menjadi penghibur abang. Itu yang amat aku kesali. Sekarang Aku dah tak bekerja. Aku tahu abang dah bosan kerana aku sering masak lauk yang sama. Aku bukan tidak tahu memasak namun aku tidak tahan menanggung asap yang menyesakkan jantungku. Selain itu kalau aku berada di dapur terlalu lama aku akan pitam. Hal ini yang menyebabkan masakanku sentiasa tidak menjadi. Jika makan di luar pula aku menempah lauk yang sama untukku kerana hanya lauk jenis sup yang boleh ku makan. Puas abang Adam suruh aku memesan lauk yang lain namun kerana sakitku ini Ara tidak boleh bang. Aku juga tahu abang menipu apabila abang mengatakan bahawa rumah tangga kami bahagia kepada Ika. Yang membuatkan aku terharu adalah apabila abang memberitahu dia tidak boleh menduakanku kerana dia memang sayangkan aku.

Kini, Alhamdulillah... kami dikurnikan rezeki seorang anak. Anak ku itu juga telah besar yakni telah berusia hampir 4 tahun. Kami dikurniakan seorang putera iaitu Muhammad Al-Hafiz. Anakku ini juga sudah pandai mengaji sikit-sikit. Alhamdulillah anakku ini terang hatinya dan amat mudah untuk kudidik. Aku kalau boleh biarlah anakku Hafiz mempunyai ilmu agama yang akan menjadi pegangan hidupnya. Ini sajalah yang dapat kulakukan untuk melupakan kesakitanku. Selain itu dengan mengajar Hafiz mengaji serta solat dan ibadat-ibadat yang lain menjadikan hidupku tidak lagi sunyi. Kelahiran Hafiz dalam hidupku menjadikan aku semakin bersemangat untuk melawan penyakitku ini. Hafiz menjadi permata hatiku. Kelincahan Hafiz menjadikan hidupku semaik ceria. Telatah hafiz mengembalikan aku kepada telatah suamiku ketika kami baru berkahwin.

Aku tahu sebenarnya dalam tempoh empat tahun ni, kami tidak seperti pasangan yang lain. Semakin hari suamiku semakin bosan dengan rumah tangga kami. Aku memang suka menyepi dan jarang berborak panjang-panjang. Walhal suamiku pula lebih suka keluar lepak dengan kawan-kawan. Makin lama makin jarang dia duduk di rumah. Setiap hari aku setia menunggunya pulang sehingga ke pagi. Aku tetap sabar menanti kepulangannya. Sering kali air mata ini menitis kerana rasa rindu tidak tertanggung kepada suamiku. Apabila aku mendengar bunyi kereta memasuki garaj di rumah kami ini aku akan bergegas berlari memasuki bilik dan berpura-pura seperti telah tidur. Aku buat begitu kerana tidak mahu suamiku tahu aku tetap setia menunggu kepulangannya walaupun sehingga ke lewat malam.

Aku tahu sebenarnya suamiku asyik keluar dengan seorang wanita sepejabatnya. Aku pernah ternampak Abang Adam dan seorang perempuan cantik berjalan-jalan di sebuah pusat membeli-belah. Abang Adam tidak perasan akan kehadiran kerana abang sedang terlalu asyik berbual denaga perempuan itu. Wajah abang sangat ceria dan berseri-seri. Wajah itu sangat berbeza dengan wajahnya di rumah. Aku tahu abang mendapat kebahagiaan jika berada di luar rumah berbanding di rumah. Aku menangis sepuas-puasnya setelah aku tiba dirumah hari itu. Hafiz turut bersedih melihat aku menangis. Anak kecil ku itu datang memelukku seolah-olah dia memahami Mamanya ini sedang bersedih. Aku memeluk Hafiz dan menangis semahuku. Dal tidak kusedar aku terpengsan. Hafiz menyangkakan aku sedang tidur. Apabila aku tersedar aku melihat putera kecilku sedang tidur lena di sebelahku sambil memelukku. Ya Allah sudah semakin teruk penyakitku ini. Aku membuat keputusan untuk berjumpa dengan Doktor Masyitah. Hafiz aku tinggalkan dirumah kakakku yang tinggal berhampiran dengan rumahku. Aku mengatakan bahawa aku ingin ke pasarraya untuk membeli barang dapur. Aku terpaksa menipu kakak kerana aku tidak mahu sesiapa tahu yang aku sedang menghidap penyakit berbahaya.

Aku berasa amat terkejut apabila Doktor Masyitah memberitahu bahawa penyakit kanserku sudah berada di tahap ketiga. Aku sudah berada di tahap kritikal. Aku hanya mempunyai tempoh yang singkat sahaja untuk hidup didunia ini. Ya Allah dugaan apa lagi ini?... Jerit batinku. Sedar tak sedar aku menangis lagi Cuma kali ini aku sedih terkenangkan aku akan meninggalkan orang-orang yang amat kusayangi. Sebelum aku pergi menemuimu Ya Allah izinkan aku memberi sedikit kegembiraan kepada Hafiz dan abang Adam. Itu shaja permintaanku.

Pada suatu hari aku memberitahu abang Adam bahawa aku mengizinkan dia berkahwin lagi tetapi mesti dengan wanita yang elok-elok. Hal ini adalah kerana aku tak mahu pelajaran Hafiz terganggu. Aku mahu Abang Adam sedar bahawa sesuaikah perempuan seperti Lisa untuk menjadi ibu kepada Hafiz. Aku kalau boleh harapkan seorang ibu yang baik yang dapat menggantikanku setelah aku tiada nanti yang boleh menjaga dan mendidik Hafiz. Itulah harapanku. Aku juga berharap perempuan lain nanti dapat membahagiakan abang Adam kerana aku tahu abang tidak pernah bahagia hidup dengan ku. Ya Allah kurniakan kebahagian untuk kedua-dua lelaki yang amat penting dalam hidupku ini. Aminnnn....

Ketika perkahwinan aku dengan abang Adam telah mencecah 6 tahun, tiba-tiba rumahtangga kami ditimpa dugaan yang maha besar. Pada suatu hari aku telah pengsan tidak sedarkan diri ketika aku sedang mengemas dapur. Ketika itu aku hanya seorang diri di rumah kerana Hafiz telah masuk sekolah tadika manakala abang pula sedang kerja. Setelah hafiz pulang dari sekolah tadika dia telah mencariku dan menemuiku sedang pengsan di dapur. Namun Hafiz menyangka aku sedang tidur. Setelah dikejut berkali-kali namun aku tidak juga bangun maka hafiz berasa takut lalu menelefon papanya. Abang Adam lantas bergegas pulang dan menghantarku ke hospital. Saat itulah baru abang Adam mengetahui bahawa aku menghidap penyakit barah tekak. Doktor Masyitah telah memberitahu segalanya mengenai penyakitku ini kepada suamiku. Kerana penyakit inilah yang membuatkan aku selalu batuk-batuk, dan terpaksa menahan sakit setiap kali bercakap!  Aku dapat lihat kesedihan yang tidak terbendung di wajah suamiku tercinta. Tidak sanggup aku melihatnya. Sedaya upaya aku melemparkan senyuman kepadanya. Kelihatan air mata di tubir mata suamiku. Aku denagan pantas mengesatnya. Di dalam hati aku berkata ‘Abang jangan menangis sayang... tidak sanggup Ara melihat abang menangis begini. Terseksa hati ini melihat air mata abang,’ bisik hatiku

“Sayang maafkan abang... abang jahil, abang seorang suami yang jahat. Maafkan abang Ara,” itulah yang sering abang Adam ucapkan kepadaku. Telihat keksealan yang tidak terhingga di wajahnya. Aku tidak sanggup melihat keadaan suamiku sekarang. Setiap hari abang Adam akan berulang alik ke hospital. Masa tu aku melihat abnag Adam sudah seperti orang tidak terurus. Aku tahu dalam fikiran hanya mengenai aku.

Dalam keadaan aku yang agak lemah, abang Adam meminta kebenaran doktor untuk membawa aku pergi melancong. Dia nak menemaniku sepuas-puasnya. Abang Adam ingin membahagiakan aku dalam sisa-sisa hayatku. Sesungguhnya kesungguhan dan kasih sayang dari abang Adam menyebabkan aku terlupa akan derita yang  aku tanggung. Aku sering menangis di bahu suamiku. Sejak aku sakit kami hanya berbalas tulisan di kertas. Aku berasa bahagia sangat. Aku menulis yang aku tidak pernah menyesal menjadi isteri Abang Adam. Aku juga menulis bahawa aku sangat bahagia hidup dengannya. Ya Allah hari-hari yang kami lalui sangat membahagiakan. Namun keadaanku sudah semakin lemah. Aku kalau boleh tidak mahu abang menderita melihatku begini. “Ya Allah, Kau jagalah kedua-dua insanyang kucinta ini. Berikan kebahagian kepada mereka. Kalau boleh janganlah mereka menderita setelah ku tiada nanti. Aku tidak tahu apa lagi yang ingin kuminta selain kebahagiaan mereka”.


NUKILAN HATI SEORANG ISTERI


Wahai suamiku tercinta

Setelah kutiada nanti jangan diri ini dilupai

Andai aku pergi titiplah doamu untukku

Andai aku telah tiada di dunia fana ini

Kenanglah daku dalam sujudmu

Maafkan segala kekurangan diri ini

Ampunkanlah segala kekhilafan yang tidak kusedari

Sesungguhnya diri insan yang tiada kesempurnaan


Janganlah engkau menangis suamiku

Janganlah engkau bersedih nyawaku

Janganlah engkau menderita sayangku

Relakan kepergianku meninggalkan cinta yang suci

Untuk menemui pemilik cinta yang sejati


Wahai puteraku yang kusayangi

Membesarlah menjadi pemuda sejati

Jangan dilupai insan kerdil ini

Carilah kebahagian dunia dan akhirat

Jangan mudah goyah dengan rayuan duniawi

Hiduplah dengan menempuhi onak duri yang berliku

Berbahagialah walau selautan dugaan terpaksa ditempuhi


Wahai kedua-dua indan yang bertakhta di hati

Terima kasih atas kebahagiaan yang diberi

Terima kaasih atas kasih sayang yang dicurah kepada diri ini

Jangan ditangisi perpisahan sementara ini

Percayalah masih ada bahagia yang menanti

Masih banyak perjalanan perlu kita tempuhi

Jangan dikesal perpisahan yang terjadi

Setiap yang bertemu pasti akan berpisah

Setiap yang hidup pasti akan pergi

Semoga kita berjumpa di alam yang hakiki

Semoga kita bersatu di syurga firdausi

Selamat tinggal wahai insan yang sentiasa bertakhta di hati





No comments: