ASSALAMUALAIKUM....

SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA. SESUNGGUHNYA SEGALA ILMU ADALAH MILIK ALLAH YANG ESA. SAYA HANYA INGIN BERKONGSI SEGALA ILMU YANG SAYA PEROLEH.SELAMAT DATANG KE DUNIA NUKILAN SAYA

Wednesday, November 24, 2010

Cerpen: Pengorbanan Seorang Abang

Sungguh nyaman suasana petang. Burung-burung berkicau riang sambil berterbangan pulang ke sarang setelah seharian mencari makanan untuk meneruskan kehidupan di bumi Allah ini. Kelihatan kanak-kanak sedang bergembira bermain bersama teman-teman seusia di taman yang disediakan di Taman Sentosa. Tidak ketinggalan si pencinta alam sedang menikmati keindahan suasana petang yang sekaligus dapat menghilangkan kepenatan setelah seharian melaksanakan aktiviti masing-masing. Begitulah serba sedikit gambaran yang dapat digambarkan tentang suasana petang di taman perumahan ini. Tidak ketinggalan anak-anak muda sedang bermain bola sepak di padang yang disediakan. Para pekerja juga sudah mula pulang ke rumah masing-masing. Jika pagi suasana di taman ini sunyi namun kini sebaliknya.


"Oklah korang. Aku balik dulu." ujar Izham Iskandar. "Alah kau ni... kan masih awal lagi. Kita pun baru saja bermain. Kau dah nak balik. Tak best kalau macam ni." kata Aiman, kawan baik Izham. "Hmm sekejap lagi mama dengan papa aku baliklah. Nanti mereka bising tengok aku tiada di rumah. Bye  korang. Aku nak pergi cari adik aku dahulu." balas Izham sambil berlari meninggalkan padang bola itu. Rakan-rakannya yang lain hanya mampu menggelengkan kepala dan membiarkan rakan mereka itu pergi. Begitulah keadaan Izham setiap hari. Dia hanya akan bermain bola selama setengah jam saja sehari. Kemudian dia akan berlari untuk pulang ke rumahnya yang terletak di hujung taman ni.

"Adik....adik...adik... Jom balik. Mama dengan papa dah nak sampai rumah. Nanti papa marah kalau kita tak ada di rumah." jerit Izham. Seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun berlari anak mendapatkan Izham. "Abang, adik nak main gi," ujar kanak-kanak itu dengan manja sambil memeluk abangnya. "Esok je kita main k. Sekarang kita balik dahulu" janji Izham sambil mmimpin tangan adik kesayangannya itu lalu mereka pun meninggalkan taman permainan itu dan berjalan pulang ke rumah mereka. Apabila mereka tiba di hadapan sebuah banglo yang tersergam indah, Izham kelihatan ketakutan. Kelihatan kereta milik mama dan papanya iaitu Datin Maznah dan Dato' Hisham telah pun berada di dalam garaj kereta. Dengan berbekalkan keberanian yang sedikit Izham memimpin adiknya memasuki rumah tersebut.

"Mana kau pergi,Izham? Bukankah papa dah kata jangan keluar dari rumah tanpa izin dari papa. Kenapa kau ni degil sangat? Dahlah kau bawa adik kau yang masih kecil ni. Kalaulah adik kena culik tadi bagaimana?" marah Datuk Hisham. Waktu itu Izham baru sahaja melangkah masuk ke dalam rumah mereka itu. "Maafkan Izham, papa. Izham cuma ingin bermain bersama rakan-rakan yang lain. Itu sahaja." ujar Izham sambil menundukkan kepalanya. Tidak berani dia ingin memandang wajah papanya yang tengah marah itu. "Baik, papa maafkan kau kali ni. Tapi kau jangan ulangi kesalahan kau ini lagi. Kalau tidak papa akan sekat segala pergerakan kau selepas ini. Faham!" tegas Dato' Hisham. "Baik, papa. Izham ke bilik dahulu papa."

"Kenapa papa selalunya mengongkong hidupku? Kenapa aku tidak boleh hidup bebas seperti orang lain? Argh... bosannya. Kalau beginilah hidupku lebih baik aku lari sahaja dari rumah ini. Tapi kalau aku lari nanti adik tinggal seorang." kata Izham. Tuk...tuk...tuk... Pintu bilik Izham diketuk seseorang. "Masuk." "Abang. Abang tengah buat apa." ujar Maizatul Hani, adik kesayangannya sambil berlari lalu berbaring di atas katilnya. "Hish, adik abang ni. Inikan bilik lelaki, mana boleh baring atas katil abang. Adik itukan perempuan." kata Izham. "Tak kira nak baring jugak" kata adiknya petah. Walaupun baru berusia 7 tahun tapi Maizatul Hani amat petah bercakap. Keletahnya juga sering memeriahkan banglo ini. Dato' Hisham dan Datin Maznah hanya mempunyai sepasang cahaya mata iaitu Izham dan Hani. Perbezaan umur mereka ialah 6 tahun. Kerana perbezaan yang tidak terlalu jauh membuatkan Hani manja dengan abangnya itu. Bagi Izham pula sejak Maizatul Hani lahir hidup dia lebih ceria. Hanilah yang sering menjadikan banglo besar ceria. "Hmm, yelah tu. Adik nak apa datang bilik abang ni?" ujarnya sambil menggeletek adik kecilnya itu. Hani ketawa kegelian apabila abngnya menggeleteknya. "Abang nak tau tak tadi mama marah papa sebab papa garang sangat waktu marah abang. Lepas itu papa pun cakap yang dia nak sedarkan abang. Dia nak abang bertanggungjawab sebab nanti abang kena jaga adik." celoteh adiknya itu. "Ye ke mak nenek oi." "Adik bukan mak neneklah" "Hmm... yelah sayang. Dah pergi tidur. Esok nak kena bangun pagi. Kan kita nak hantar mama dengan papa ke airport." "Airport tu apa abang?" "Hahahaha....Airport tu tempat yang ada kapal terbang. Hmm esok adik tau ape itu airport.Dah gi tido karang papa marah," "Ok. Selamat malam abang." ujar Hani lalu mencium pipi abangnya dan terus berlari keluar lalu memasuki biliknya yang hanya bersebelahan sahaja dengan bilik Izham.

Keesokan harinya Izham sekeluarga telah airport untuk menghantar mama dan papanya yang akan melawat ke syarikat mereka di Bandung, Indenosia. Mereka mungkin berada di sana selama seminggu. Hampir setiap bulan ibu bapanya akan ke sana. Mereka juga selalu ke oversea atas urusan perniagaan. Mereka terlalu sibuk mencari kekayaan sehingga mengabaikan Izham dan Maizatul Hani. Bagi Izham, Hanilah hidupnya begitulah sebaliknya.
.............

"Mak Yam, abang Iz akan pulang hari inikan?" tanya Maizatul Hani kepada pembantu rumah yang telah dianggap seperti ibunya. Dari Mak Yamlah Hani dan Izham mendapat kasih sayang setelah mama mereka, Datin Maznah terlalu sibuk menguruskan butik dan aktiviti kumpulannya. "Ya semalam Datin menerima panggilan dari abang Iz dan mengatakan bahawa dia akan pulang hari ini. Sekarang ni Pak Mat sedang menjemput dia. Bagaimanalah rupa dia sekarang? Kalau tak silap Mak Yam dah hampir sepuluh tahun abang Iz berada di luar negara." ujar Mak Yam sambil menyiapkan makanan kegemaran Izham Iskandar. "Benar Mak Yam. Hani terlalu merindui abang. Mesti abang kacakkan Mak Yam? Mulai hari ni Hani tak sunyi semula. Hani ada abang di sisi. Hani tidak sabar nak peluk abang Iz." ujar Hani sambil tersenyum. Mak Yam juga tersenyum apabila melihat anak dara majikannya itu menukirkan senyuman manis. Susah untuk melihat bibir comel itu tersenyum. 'Kesian mereka. Walaupun tinggal dalam banglo mewah namun sebenarnya mereka tak pernah gembira.' kata Mak Yam dalam hatinya. Tiba-tiba lamunan mereka terhenti apabila kedengaran bunyi enjin kereta dimatikan di halaman rumah. "Mak Yam mesti abang dah sampai," kata Hani dengan gembira lalu berlari ke arah pintu untuk menyambut kepulangan Izham.


"Assalamualaikum." ucap seorang pemuda kacak yang baru keluar dari kereta Mercedes milik Dato'  Hisham. "Wa...wa...alaikumus...salam," jawab Maizatul Hani tergagap-gagap. Pemuda itu tergelak. "Hai kenapa adik abang ni? Terkejut ke lihat abang yang hansome ni? Tak nak peluk abang ke? Tak rindukan abang eh?" kata pemuda itu. "Abang Iz ke? Hani ingat sapelah tadi." ujar Hani lalu mendapatkan abangnya itu lalu mencium tangan Izham. Izham terkejut melihat kelakuan Hani. Seingatnya Hani susah untuk mencium tangan seseorang. Dia selalunya mencium pipi Izham. Izham melihat terdapat perubahan ke atas diri adik kesayangannya. Hani memakai pakaian yang sopan tidak seperti ketika dua tahun yang lalu. Ketika Hani, Mama dan Papa ke Mesir untuk melawatnya dua tahun yang lalu Hani berpakaian skirt pendek dan berbaju tanpa lengan. Hani kelihatan terlalu seksi ketika itu. Sedih Izham melihat adiknya ketika itu. Namun begitu, Hani yang di hadapannya kini amat berlainan sekali. Yang di hadapan Izham sekarang ialah seorang gadis yang memakai skirt labuh serta berbaju lengan panjang. Apa agaknya yang merubah Hani?


"Abang...Abang... abang Izham..." panggil Hani berulang kali. Dia merasa pelik kenapa abang melihat dirinya sambil mengerut dahi. "Maaf dik. Abang mengelamaun pula," ujar Izham cuba menyembunyikan isi hatinya. Hani lalu mengajak abangnya masuk ke dalam rumah. "Mama dengan papa pergi mana adik?" tanya Izham setelah menyedari ibubapanya itu tiada di rumah untuk menyambut kepulangannya. "Mama pergi butik. Ingin berjumpa Puan Sri Anita katanya. Papa pula ada meeting dengan wakil dari Bernama Holdings untuk berbincang tentang projek baru katanya," terang Hani. Izham mengeluh. "Dah sampai dah rupanya Doktor Izham. Macam mana duduk di negara orang. Seronok ke?" tegur Mak Yam apabila menyedari kesedihan dua beradik itu. "Biasa je Mak Yam. Tak seseronok di negeri sendiri. Lagipun disana tak jumpa chef sehebat Mak Yam," kata Izham lalu mencium tangan wanita yang telah dianggap seperti ibu. Dia terlalu merindui wanita ini. Sepanjang dia melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar dalam bidang perubatan Izham terlalu merindui belaian dari Mak Yam. Mak Yamlah pengganti mama yang sentiasa sibuk. Dipangkuan Mak Yamlah Izham dan Hani pernah tidur. Pelukan kasih sayang Mak Yam dan suaminya, Pak Mat diterima sejak mereka merasa mama dan papa tidak lagi menghiraukan mereka. Pasangan suami isteri ini tidak dikurniakan zuriat. Mereka memberi sebanyak mungkin kasih sayang kepada dua beradik ini. Dengan adanya Mak Yam dan Pak Mat dapatlah Izham dan Hani menumpang kasih dan bermanja. "Ha Yam, awak dah masak ke? Iz tentu lapar. Dari dalam kereta lagi saya tengok Iz asyik pegang perut je. Sekarang ni pun Iz dah kurus," tegur Pak Mat pula yang berdiri di pintu utama. "Dah. Hani pun ada tolong. Iz tau tak Hani dah pandai masak tau," "Yeke Mak Yam. Hmm nak juga rasa masakan mak nenek ni," usik Izham sambil mencubit pipi adiknya yang manis. "Orang bukan mak nenek tau," marah Hani sambil menggosok pipi yang Izham cubit. Semua yang ada di situ tergelak melihat tingkah Maizatul Hani.


Tuk..tuk...tuk... Pintu bilik Hani diketuk. "Siapa?" "Abang ni," "Oh abang. Masuklah!" Izham pun melangkah masuk lalu duduk di  birai katil adiknya itu. Inilah kali pertama Izham memasuki bilik adik perempuannya itu. Alangkah kagumnya dia melihat bilik adik yang kemas dan cantik. Sesungguhnya Maizatul Hani memang seorang yang pembersih. Izham lalu melihat ke sekeliling bilik adiknya itu. Pandangannya terhenti di sebuah meja yang berhampiran dengan katil adiknya. Di atas meja itu kelihatan sebuah kitab Al-Quran beserta terjemahannya sekali. "Abang nak apa? Tak malu ke masuk bilik perempuan," ujar Maizatul Hani. Izham tersedar dari lamunannya. "Adik, Kalau abang tanya adik marah tak?" "Abang nak tanya apa? Adik tidak marah. Tanyalah." "Abang tengok adik dah banyak berubah. Kenapa adik? Adik ada masalah ke? Ceritalah dekat abang," Izham memulakan penyiasatannya. Dia berasa amat pelik dengan perubahan adiknya itu.


Hani terdiam. Dia menundukkan wajahnya. Kemudian dia mendongak semula. Sebuah senyuman manis diberi kepada abangnya itu. "Mana ada apa-apa abang. Adik cuma ingin berubah. Kita pun bukannya tahu tempoh hidup kita didunia ini. Jadi sebelum terlambat adik nak berubah. Adik tahu dari dulu abang nasihatkan adik agar jangan terpengaruh dengan budaya barat tapi mama dengan papa tak pernah melarang sebaliknya mereka tidak kisah sekiranya adik mengikuti budaya tersebut. Ketika abang tiada di sisi adik, adik terlalu sunyi dan sedih.  Setiap kali adik teringat dekat abang, adik mesti masuk ke dalam bilik abang. Pada suatu hari, seperti biasa adik masuk ke dalam bilik abang. Bau dalam bilik abang sangat harum. Kemudian adik terpandang ke atas rak buku abang. Mata adik tertumpu hanya ke sebuah buku yang paling atas sekali. Kerana terlalu ingin mengetahui isi kandungan buku itu adik pun mengambilnya. Rupanya itu adalah Al-Quran. Adik tidak tahu membacanya tapi adik membaca terjemahannya. Adik terlalu kagum lalu adik bertekad untuk mempelajari Al-Quran. Lalu adik berjumpa dengan seorang ustaz, Ustaz  Iskandar namanya. Ustaz itulah yang telah mendidik adik sehingga adik pandai membaca Al-Quran. Setelah adik habis mempelajari al-Quran, adik belajar pula akidah, akhlak dan ibadah. Sebenarnya Ustaz  Iskandar ada menubuhkan sebuah madrasah di mana tujuannya adalah untuk mengajar keistimewaan islam. Adik pun tertarik untuk menjadi ahli madrasah itu. Kalau abang mahu nanti adik bawa abang ke madrasah itu. Sekaligus abang boleh berkenalan dengan Ustaz Iskandar," terang Maizatul Hani. Penerangannya yang jelas itu berjaya menjawab segala pertanyaanku sejak pertama kali melihat perubahan Hani pagi tadi. "Alhamdulillah. Syukur kepada Allah kerana telah membuka hati adik. Abang teringin nak melihat insan yang telah berjasa itu adik. Sepatutnya abang yang harus mengajar  dan mendidik adik tapi apa boleh buat abang perlu menambah ilmu di dada. Adik tadi abang dah berbincang dengan papa. Abang nak bekerja di salah sebuah hospital kerajaan. Papa tidak bersetuju pada mulanya. Dia menyuruh abang membuka klinik sendiri tetapi abang menerangkan bahawa abang ingin mencari pengalaman. Akhirnya papa bersetuju." ujar Izham.


Kini sudah seminggu Izham bertugas di Hospital Kuala Lumpur. Oleh kerana tempat kerjanya berhampiran dengan rumahnya maka tidak perlulah dia mencari rumah sewa dan tidak perlu dia berpisah dengan adik kesayangannya itu. Setiap hari sebelum ke hospital, Izham akan menghantar adiknya ke Madrasah Al-Iman. Kalau dahulunya hani merupakan pelajar di madrasah itu kini dia telah menjadi tenaga pengajar di situ. Izham masih belum berkesempatan melawat madrasah itu. dia hanya akan menghantar Hani di hadapan pintu pagar dan kemudian menjemputnya kembali pada sebelah petang.


"Abang, mama nak tanya. Bila abang nak kahwin?" tanya Datin Maznah pada suatu malam ketika mereka sekeluarga sedang menikmati hidangan makan malam. Sesungguhnya amat susah untuk mereka sekeluarga berkumpul untuk makan. Selalunya hanya Izham dan Hani ditemani Mak Yam dan Pak Mat. Tersedak Izham mendengar pertanyaan mamanya itu. Hani pula tergelak kecil melihat tingkah abangnya. "Hani pun bila nak kahwin. Papa dengan mama dah kempunan nak ada cucu," ujar Dato' Hisham pula. Terdiam Maizatul Hani bila dia pula ditanya. "Alah papa, mama, kami tak fikir pun lagi nak berkahwin,"ujar Izham. "Kenapa? Abang ingat abang tu muda lagi ke. Abang dah 27 tahun adik pula dh 21 tahun. Dah sepatutnya memberi mama dengan papa cucu." kata Datin Maznah. "Baiklah tapi ada syarat kalau mama dengan papa nak kami berkahwin biarlah kami yang cari pasangan kami. Mama dengan papa tidak boleh membantah pilihan kami," ujar Maizatul Hani. "Tapi, papa sudah ada calon untuk adik. Anak Tan Sri Halim. Adik pun kenal dengan dia. Kawan satu kelas dengan adik ketika di tingkatan 5 dulu. Alah si Kamil Hadi tu," kata Dato' Hisham. "Ooo yamg buaya darat tu ke papa? Maaf papa dia tiada langsung ciri-ciri suami pilihan adik. Adik minta maaf papa. Adik tak nak berkahwin dengan kawan-kawan papa atau mama." "Abang pun sama. Izinkan kami mencari kebahagiaan kami sendiri. Bolehkan papa, mama," ujar Izham pula. "Baiklah Mama dengan papa benarkan kamu berdua mencari menantu untuk mama. Tapi dalam tempoh setahun sahaja. Kalau hujung tahun ini kamu berdua tidak membawa pasangan kamu berjumpa dengan kami, kamu kena terima pilihan yang kami cari untuk kamu. Boleh?" kata Dato' Hisham. Izham dan Hani pun saling berpandangan lalu mereka angguk secara serentak.


"Ya Allah berikanlah aku sedikit lagi kesempatan agar aku berpeluang melaksanakan tanggungjawabku. Aku bermohon perkenanMu agar aku mampu menyelesaikan tugasku ini. Seandainya setelah aku berhasil menyelesaikan tugasku itu aku bersedia bertemu dengan Mu. Amin...amin...ya rabbal a'lamin," "Assalamualaikum, abang boleh adik masuk sebentar. Ada perkara ingin adik bincangkan dengan abang," Maizatul Hani meminta izin dari abangnya itu. "Masuklah adik. Pintu bilik sentiasa terbuka untuk adik abang seorang ni,"kata Izham. Hani lantas masuk lalu menutup semula pintu bilik itu lalu melabuhkan punggungnya di atas tilam abangnya. Dia memerhatikan sahaja abang Iz yang sedang melipat sejadah lalu diletakkan sejadah itu di dalam almari pakaian. Kemudian Izham menarik kerusi yang terdapat dalam biliknya itu lalu duduk dihadapan adiknya. Dia tahu adiknya ingin berbincang sesuatu perkara dengannya kalau tidak Hani tidak akan masuk ke dalam biliknya. Perkara itu semestinya perkara yang serius dan rahsia kerana kalau perkara biasa mereka akan berbincang di ruang tamu atau di bilik perpustakaan. "Adik kenapa ni? Kenapa macam risau je ni? Cuba beritahu abang mungkin abang boleh bantu adik." pujuk Izham. "Abang, sebenarnya....sebenarnya ada satu perkara adik rahsiakan dari abang. Sebenarnya adik dah ada kekasih," ujar Hani sambil menundukkan kepalanya. "Ya ke, adik. Baguslah kalau macam tu. Siapa nama pemuda itu?" tanya Izham teruja. "Adik tidak boleh beritahu abang lagi. Nanti kalau dah sampai waktu yang sesuai adik akan beritahu abang. Adik minta diri dulu. Adik nak buat solat istiharah. Semoga dia memang jodoh yang tertulis di Lohmahfus untuk adik. Doakan adik ya abang.Assalamualaikum," "Waalaikumusalam."


"Aku takut aku tak cukup masa, Nafi. Kau pun taukan aku hanya ada sebulan sahaja lagi untuk hidup. Aku kalau boleh sebelum aku memejamkan mata, meninggalkan alam buana ini aku ingin sekali memastikan bahawa adik aku dijaga oleh seseorang yang boleh memimpin dia ke jalan kebenaran." luah Izham kepada sahabat baiknya Hanafi. "Sabar,Iz. Allah bersama dengan orang yang sabar. Aku tau kau seorang yang kuat. kita bukan baru semalam bersahabat. Sejak dari sekolah rendah lagi kita sudah menjadi sahabat baik. Kalau kau merasa sakit, aku juga akan merasakan sakit. Kau tak nak buat pembedahan ke? Manalah tahu dengan kuasa Tuhan kau akan sembuh." cadang Hanafi. "Fi, aku bukan sakit biasa tapi barah otak. Aku ni seorang doktor. Kau tau setakat ini belum jumpa penawar untuk barah. Kalau aku buat pembedahan pun kemungkinan untuk sembuh hanya 50;50. Jadi dari aku mengambil risiko lebih baik aku begini sahaja. Aku tak nak orang-orang yang aku sayangi susah hati kerana aku. Aku kalau boleh nak kau jadi adik ipar aku tp apakan daya adik aku telah pun ada pilihan hati." beritahu Izham. "Kau kena kuat Iz. Ramai yang masih memerlukan kau," kata Hanafi sambil mengelap air mata yang hampir menitis. Nafi tidak mahu sahabatnya menjadi lemah apabila melihat air matanya. Mereka diam sambil memandang keindahan waktu dia atas bukit yang sering menjadi tempat mereka meluahkan perasaan masing-masing. Izham berasa tenang setiap kali berada di atas bukit ini. Bukit ini terletak jauh dari kesibukan kota. Jelas kelihatan bandaraya Kuala Lumput apabila berada di atas bukit ini. "Kau tau tak nafi, aku ingin mendermakan hati aku untuk seseorang yang amat aku sayang iaitu adik aku, Hani," "Apa maksud kau? Hani sakit ke?" Izham terus memandang ke arah langit yang terbentang luas.


"Abang inilah orang yang pernah adik beritahu dulu. Inilah Ustaz Iskandar. Dia inilah orang ingin adik kahwini. adik ingin minta restu dari abang," kata Hani. "Ya Allah, Nafi!" "Izham. Maknanya Mai inilah Hani adik kau." ujar Hanafi terkejut. "Ya. Memang Mai ialah Hani. Nama Hani hanya dikenali oleh ahli keluarga. Dalam kalangan teman-teman pula saya lebih dikenali dengan nama Mai. Bukankah nama penuh saya Maizatul Hani," terang Hani. "Tapi siapa Nafi?" tanya Hani. "Sayalah Nafi. Saya dengan Izham berkawan sejak kecil. kami amat rapat. Kami tidak pernah berpisah sejak dari sekolah rendah hinggalah ke sekolah menengah. Namun Izham mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke Mesir manakala saya pula belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Kami pun berpisah namun tetap berhubung. Oleh kerana nama kami berdua berakhir dengan Iskandar maka lebih mudah jika kami menggunakan nama pertama kami. Namun nama Nafi hanya digunakan apabila sya bersama dengan Izham. Dengan orang lain saya dikenali dengan nama Iskandar. Nama penuh saya Hanafi Iskandar," terang Hanafi pula. "Abang..............." jerit Maizatul Hani apabila secara tiba-tiba Izham pengsam. Hani menagis sambil memangku kepala abangnya. "Tolong panggilkan ambulans. Sesiapa tolonglah," rayu Hani sambil menangis. Setelah itu Hani merasakan bahawa dunianya gelap dan dia tidak sedarkan diri.
............................


"Abang berehat dulu. Abang mesti penatkan. Abang pun baru saja sampai. Adik nak ke kedai beli buku sekejap.Nanti malam kita berbual panjang. Mesti dah tak penat lagi nanti. Baiklah adik pergi dulu. Assalamualaikum." "Waa'alaikumusalam." Setelah Izham pasti yang Hani telah pergi ke kedai dia pun masuk ke dalam bilik Hani lalu dia mencari sesuatu. Ketika Izham membuka laci alat solek Hani terdapat sebuah kotak yang di dalamnya penuh dengan ubat. Izham lalu mengambil sebotol ubat lalu ditutup semula laci tersebut. Izham kemudiannya masuk ke biliknya dan berpura-pura tidur.Keesokan harinya Izham membawa botol ubat itu ke klinik Doktor Zulaikha iaitu salah seseorang yang Izham sayangi. 


"Dengan bantuan Ika aku mendapat tahu bahawa Hani menghidapi masalah kerosakan hati. Namun apabila aku tanya kenapa dia berubah dia menipu dengan mengatakan bahawa kerinduannya kepada aku waktu aku di Mesir yang menyebabkan dia akhirnya terbuka hati untuk mendalami Islam. Kemudiannya aku mengintip segala pergerakan Hani tanpa diketahui oleh sesiapa pun. Akhirnya aku berhasil menjumpai doktor yang sering Hani jumpa untuk membuat pemeriksaan. Rupa-rupanya Ikalah yang menjadi doktor peribadi Hani. Kemudian tanpa pengetahuan Hani aku menyuruh Ika memeriksa bahawa adakah hatiku sesuai untuk Hani dan alhamdulillah memang sesuai sekali. Aku pun berpesan kepada Ika apabila sampai waktunya kau akan memberitahu Ika bahawa aku telah bersedia untuk menyerahkan hati aku kepada Hani. Nafi bolehkah berjanji apabila aku tiada nanti kau akan uruskan segala wasiat ku ini. Bolehkah kau berjanji, Nafi? Kau seorang sahaja yang aku percaya." ujar Izham.




Assalamualaikum kepada semua insan yang Izham sayangi. 
Mungkin ketika surat ini dibaca  Iz telah berada jauh dari dunia ini. Satu permintaan Iz jangan tangisi perpisahan ini. Maafkan Iz kerana merahsiakan perkara ini dari pengetahuan semua terutama mama, papa, dan adik yang sangat Iz sayangi. 


Mama, papa, dan adik,
Sebenarmya ada satu rahsia yang lagi besar telah Iz sembunyikan dari pengetahuan kamu semua. sebenarnya Iz telah pun berkahwin. Doktor Zulaikha adalah isteri Iz yang sah. Kami telah berkahwin ketika kami sama belajar di Mesir dahulu. Kami juga telah dikurniakan seorang putera yang bernama 
Izhar Zulkarnain. Iz harap mama dengan papa dapat maafkan dosa Iz kerana telah merahsiakan perkara ini. Tapi Iz percaya kalau Iz beritahu mesti Mama dengan Papa tidak dapat menerima Ika juka putera kami. Satu permintaan Iz cubalah mama dengan papa luangkan lebih banyak masa bersama keluarga. Harta tidak menjamin kebahagiaan. Itu sahaja harapan Iz pada mama dan papa.


Buat adik yang amat abang sayangi.
Adik, uasahlah dikau berbohong dengan abang lagi. Sejak dari awal lagi abang sudah tahu yang adik menderita kerana kerosakan hati. Tiada apa yang dapat abang lakukan selain menyerahkan hati abang yang tak berharga ini kepada adik. Adik, abang gembira sangat sebab impian abang nak carikan adik pasangan hidup yang akan membahagiakan adik sehingga ke akhir hayat adik  telah termakbul. Hanafi Iskandar memang insan yang paling tepat untuk adik. Mama, papa, Iz harap mama dan papa dapat menerima Hanafi Iskandar sebagai menantu keluarga kita. Semoga adik akan bahagia selalu. Ingatlah abang sentiasa sayangkan adik. Sampaikan salam terima kasih kepada Mak Yam dan Pak Mat yang terlalu baik dengan kita berdua. 


Buat sahabatku yang banyak berjasa,
Nafi terima kasih tidak terhingga kuucapkan kepada kau. Sedari kecil hingga sekarang engkau tetap bersahabat dengan ku. Tolong laksanakan amanat yang pernah aku berikan kepada kau dulu. Terima kasih kerana pernah mengajar Hani mengaji Al-quran, serta mendidik dia sehingga menjadi muslimah yang soleha. Terima kasih Nafi. Selepas ini kau pula yang akan mengganti tempatku dalam keluarga aku.Terima kasih sahabat.


Buat isteri yang amat abang cintai,
Ika walaupun hubungan kita hanya sebentar tapi abang bahagia menjadi suami Ika. Ika adalah isteri yang baik. Tolong jaga anak kita dan berilah dia secukupnya ilmu agama agar hidupnya sentiasa di atas landasan yang benar. Ika masih ingat pesan abang.Abang kalau boleh hendak Ika yang melaksanakan pemindahan hati abang ke dalam tubuh Hani. Sayangilah Hani kerana Ikalah pengganti abang buat Hani. Jagalah mama dan papa sebaiknya. Ika pun tak pernah rasa kasih sayang dari ibu bapakan jadi anggap mama dan papa abang adalah mama dan papa Ika. Andai Ika jumpa pengganti abang kahwinlah abang rela. Kalau tidak Ikalah bidadari abang di syurga kelak. Selamat tinggal sayang. Sampaikan kucup rindu, kasih dan cinta abang kepada Izhar Zulkarnain. Semoga dia menjadi anak yang soleh.


Baiklah semua segalanya telah Iz luahkan di sini. Sekarang bolehlah Iz berehat. Selamat tinggal semua. Ingatlah Iz sentiasa menyayangi kamu semua. Assalamualaikum....


Yang menyayangi 
Izham Iskandar Dato' Hisham Hashim




Suasana sekeliling sunyi dan sayu. Semua insan yang diminta berkumpul di rumah banglo itu diselubungi kesedihan yang tidak tergambar. Mereka semua telah kehilangan seorang insan yang amat mereka sayangi. Maizatul Hanilah yang paling sedih sekali. Dia kini telah kehilangan insan yang paling dia kasihi. Abang Iz sentiasa mengambil berat tentang dirinya kalau tidak masakan dengan mudah dia boleh mengetahui bahawa Hani berpenyakit tapi Hani langsung tidak mengetahui bahawa abangnya itu sedang bertarung dengan nyawa selama ini. "Sabarlah Hani sesungguhnya Allah amat menyayangin abang Iz. Jangan sedih ya. Esok Hani akan dibedah. Hani harus berbangga," pujuk Zulaikha kehibaan. "Apa maksud Doktor?" "Bukan doktor sayang tapi kakak. Walaupun abang Iz telah tiada tapi mulai esok dia akan sentiasa dekat dengan Hani. Hal ini adalah kerana mulai esok hati abang Iz akan berada dalam mu dik. Akak selalu mengimpikan akak dapt memiliki hati suami akak itu tapi rupanya adik pemiliknya selepas ini," ujar Zulaikha. Datin Maznah tidak dapat menahan sedihnya lalu menangis kehibaan dalam pelukan Dato' Hisham. "Saya lupa, bang. Saya terlalu sibuk sehingga ketika Iz hidup sekali pun tidak pernah saya memeluknya. Kalaulah masa boleh berputar saya nak sangat peluk Iz, abang," tangis Datin Maznah semakin kuat. Dato' Hisahm tidak berkata apa. dia hanya menundukkan kepalanya. Lalu datang seorang kanak-kanak menghampiri Datin Maznah sambil menghulurkan sapu tangan. "Nenek jangan nangis, Nanti Iz pun nangis. Iz pun sedih juga. Papadah takde. Mama cakap papa pergi jumpa tuhan dekat atas. Mama cakap Iz ada mama, tuhan duk sorang-sorang je. Tu sebab papa pergi temankan tuhan. Betul ke nenenk?" tanya si kecil itu. datin Maznah lalu memeluk kanak-kanak itu lalu diciumnya pipi cucunya itu berulang kali. Terubat sedikit rindunya kepada Izham Iskandar


Akhirnya pemindahan hati milik Izhar ke tubuh Hani berjaya dilakukan. Tidak lama selepas itu Maizatul Hani pun diijapkabulkan dengan Hanafi Iskandar. Zulaikaha bertekad tidak akan berkahwin lagi.. Bagi Zulaikha, tiada siapa dapat mengganti tempat Izham Iskandar di hatinya. Atas permintaan mama dan papa arwah suaminya, Zulaikha dan Izhar Zulkarnain kini tinggal di banglo milik keluarganya itu. Datin dan Dato' tidak terlalu mencari harta lagi. Mereka kini lebih gemar menghabiskan masa mereka menambah bekalan sebelum mereka pula yang dijemput.


Beginilah berakhirnya kisah pengorbanan seorang abang. Saya ingin memohon maaf jika ada menyinggungkan perasaan sesiapa jika ada yang terasa hati dengan karya saya ini. Ini juga merupakan cerpen saya yang pertama di blog ini. Terdapat banyak kekurangan. Haraf dimaafkan.

Monday, November 22, 2010

Pantun Untukmu Sahabat

Duduk termenung si anak teruna,
     Duduk di atas titian jati;
Apalah guna hidup di dunia,
     Jika tiada teman di sisi.

Datang putera ke taman rahsia,
     Ingin bertemu puteri yang manis;
Alangkah ramai teman ketika suka,
     Sukar dicari teman waktu menangis.

Sungguh cantik si gadis desa,
     Berkain batik berbaju kebaya;
Sahabat sejati umpama cahaya,
     Menerangi maya yang gelap gelita.

Bangun pagi untuk bersahur,
     Lapar tiada waktu berpuasa;
Sahabat sejati selalu menegur,
     Biarpun pahit diberitahu juga.

Duduk termenung tepi perigi,
     Menanti tibanya pujaan hati;
Sahabat sejati sukar dicari,
     Jika ketemui jangan khianati.

Pemuda desa rajin berbudi,
     Dari kecil membanting tulang;
Teman jahat ramai sekali,
     Menikam kita dari belakang.

Bertemu sudah dua hati,
     Bertemu dalam taman larangan;
Jadilah kita teman sejati,
     Sentiasa ada waktu diperlukan.

Duduk termenung di tepi batas,
     Mengenang diri tidak berdarjat;
Budimu teman tak dapat kubalas,
     Akan kukenang sepanjang hayat.

Cerita Di Sebalik Kejayaan

Sesungguhnya zaman kanak-kanak adalah zaman yang paling indah. Aku masih merindui zaman kanak-kanakku. Aku diasuh dengan penuh kasih sayang oleh kedua orang ibu bapaku. Tidak pernah mereka mengabaikan malah mereka memberiku sepenuh perhatian dan kasih sayang. Walaupun aku tidak seperti kanak-kanak yang lain. Hal ini adalah kerana aku dilahirkan kurang sempurna. Aku mengalami masalah penglihatan yang terhad. Kerana menghadapi masalah kewangan ayah tidak dapat menghantarku ke sekolah tadika. Namun aku telah mempelajari apa yang dipelajari oleh kanak-kanak lain di sekolah tadika. Aku hanya mempelajarinya dengan sendiri dirumah dengan bantuan ibubapaku.


Pada mulanya keluarga tidak mengetahui kekuranganku, apabila aku berumur 6 tahun barulah mama dengan ayah menyedarinya dan membawaku untuk membuat pemeriksaan mata di klinik kerajaan. Kemudiannya aku telah dihantar ke Hospital Besar Negeri Sembilan untuk diperiksa oleh doktor pakar. Seterusnya aku telah dikenalpasti sebagai pesakit lowvision atau penglihatan terhad. Doktor menyarankan agar aku didaftarkan sebagai seorang kanak-kanak OKU di Jabatan Kebajikan Masyarakat. Seterusnya aku disuruh belajar di salah sebuah sekolah pendidikan khas di Seremban iaitu Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Seremban. Di sinilah aku mula mengenali dunia. Aku mempelajari erti hidup, mendapat ramai kawan dan mempelajari ilmu untuk kegunaan di dunia juga di akhirat. Alhamdulillah aku dilahirkan dalam keluarga yang sememangnya mementingkan ilmu agama. Walaupun aku cacat namun mak dan ayah tetap mencari seorang guru untuk aku belajar mengaji. Menurut mak aku sememangnya seorang yang terang hati kerana aku dapat membaca al-Quran dan dapat khatam Al-Quran ketika aku berusia 12 tahun. 


Oleh kerana aku bersekolah di sekolah pendidikan khas maka aku tidak menduduki UPSR ketika aku berusia 12 tahun sebaliknya aku mendudukinya ketika berumur 14 tahun. Satu lagi kurniaan Allah untukku ialah Dia mengurniakan aku akal yang cerdas. Aku telah menunjukkan kepandaianku sedari berada di bangku sekolah rendah lagi. Ketika UPSR aku berjaya memperoleh 4A1B. 


Seterusnya aku meneruskan pelajaranku di sekolah berasrama di Kuala Lumpur. Sekolah ini juga merupakan sekolah pendidikan khas iaitu Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak. Jika sekolah rendahku mengajarku erti hidup maka sekolah menengah adalah tempat di mana aku perlu menghadapi hidup yang pelbagai cabaran agar nanti aku akan menjadi lebih yakin untuk hidup di dunia yang lebih mencabar. Sesungguhnya guru-gurulah yang telah bertungkus-lumus mengajar dan membantuku. Sekali lagi aku memperoleh kejayaan apabila aku berjaya mendapat 5A dan 3B dalam PMR. Walaupun keputusan tidak sehebat pelajar normal yang lain, namun aku bersyukur dan berbangga dengan pencapaianku. 


Setelah itu, aku meneruskan pelajaranku di sekolah itu juga. Aku bukan sahaja ingin belajar di sekalah tersebut sebaliknya aku juga dapat mengasah bakat yang tersembunyi dalam diriku. Aku dididik agar mampu menjadi pelajar yang cemerlang, pemimpin yang berdedikasi malah aku juga diasuh agar menjadi wanita yang solehah serta mampu menjaga diri sendiri. Terlalu banyak ilmu yang aku peroleh dari sekolah berjasa ini. Sehingga aku berjaya sekali mendapat keputusan yang cemerlang ketika SPM. Tidak tergambar kegembiraan mak, ayah serta guru-guru di atas kejayaanku mendapat 8A1B dan 1C. Dengan kejayaanku inilah aku mendapat tempat untuk melanjutkan pelajaranku dalam bidang Pengurusan Perniagaan di salah sebuah IPTA dalam negara. Aku berjaya menjadi mahasiswi UiTM Melaka. 


Begitulah kisah hidupku setakat ini. Aku ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada guru-guru di kedua-dua sekolah yang pernah menjadi saksi kejayaan ku sebelum ini. Sesungguhnya perjalananku baru bermula. Semoga aku berjaya sampai ke destinasiku suatu hari nanti. Terima kasih tidak terhingga ingin ku ucapkan kepada mama, ayah, keluarga tersayang, guru-guru sekolah rendah, tidak dilupai guru-guru sekolah menengahku, rakan-rakan tercinta, serta segala pihak yang turut secara langsung atau tidak langsung di atas segala kejayaanku sebelum ini. Budi kalian tidak akan pernah aku lupakan. Akan kubawa ia hingga ke akhir hembusan nafasku. Terima kasih.................

Saturday, November 20, 2010

Bergelar Mahasiswi

Masa berlalu dengan pantas. Tanpa aku sedari sudah berlalu satu semester aku di UITM Melaka. Kini aku telah pun mula bercuti sebelum meneruskan pengajian dalam bidang Pengurusan Perniagaan. Bergelar mahasiswi amat berbeza berbanding ketika menjadi pelajar sekolah dahulu. Zaman persekolahan memang tidak dapat aku lupakan. Terlalu banyak kenangan yang tak mungkin aku lupakan sampai ke akhir hayatku. Menjadi seorang mahasiswi memang menyeronokkan. Pada mulanya aku amat takut untuk melanjutkan pelajaran di universiti ini. Pelbagai bayangan menakutkan yang aku bayangkan, namun atas dorongan pelbagai pihak aku berjaya juga hidup di alam menara gading. Pelbagai pahit manis telah aku lalui. Perkara yang tidak mungkin aku lupakan adalah ketika aku mengikuti program Minggu Destini Siswi.

Minggu Destini Siswi adalah minggu dimana kami pelajar baru akan didedahkn tentang cara hidup seorang mahasiswa atau mahasiswi. Sepanjang minggu ini kami berasa amat penat sekali. Kami kena bangun seawal jam 3.00 pagi dan hanya akan tidur pada pukul 1.00 atau 2.00 pagi. Kami hanya tidur selama dua atau tiga jam sahaja sehari. sepanjang hari akan berlangsung aktiviti yang memenatkan. Sesungguhnya benar kata abang senior bahawa minggu MDS memang akan kami ingati sampai bila-bila.

kadangkala tiada bezanya jadual harian ketika bergelar pelajar sekolah ataupun ketika menjadi mahasiswi. Cuma jadual waktu kelas ketika di sekolah padat dan seragam sebaliknya jadual kuliah atau tutorial lebih santai. Lagi satu dulu kena berpakaian seragam tetapi sekarang pelajar dengan pensyarah susah untuk dibezakan kerana pakaian mereka sama. 

Apa yang penting, tidak kira seseorang itu digelar pelajar atau mahasiswa, tanggungjawab dan tugas mereka adalah sama iaitu ingin menimba ilmu pengetahuan. Siswa atau siswi hanyalah gelaran sahaja. Yang paling utama adalah kemampuan mereka untuk memajukan diri mereka serta menambahkan ilmu di dada mereka... Itulah yang paling mustahak.....